Tarikh/ Tanggal 12 Rabiulawal dalam bulan hijrah Islam merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad SAW merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini. Apakah Tema Maulidur Rasul 2024 Dan bilakah tarikh sambutan?
Menurut tarikh penting Kalendar Islam 2024 JAKIM, Maulidur Rasul tahun 2024 bersamaan dengan tahun 1446H akan disambut pada hari Isnin, 16 September 2024 yang merupakan cuti hari kelepasan am di Malaysia. Tema Sambutan Maulidur Rasul tahun ini adalah “Al Falah Pemacu Malaysia Madani”. Tema bagi tahun 2023 adalah “Perpaduan Teras Malaysia Madani”. Tema sambutan bagi tahun 2022 adalah “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”. Tema untuk sambutan tahun 2021 adalah “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”. Tema bagi tahun 2020 adalah “Ummah Rabbani Negara Harmoni”. Tahun 2019 adalah “Negara Rahmah, Ummah Sejahtera” di mana tema tahun sebelumnya adalah “Menyantuni Umat Membawa Rahmat”.
Senarai Isi Kandungan
Sambutan Maulidur Rasul Tahun 2024 – 1446H
Sambutan Peringkat Kebangsaan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 September 2024 (Isnin). Siaran langsung majlis boleh ditonton melalui saluran televisyen dan radio utama Malaysia pada hari sambutan bermula jam 7.30 pagi.
Berikut dikongsikan tema Maulidur Rasul 2024 bersamaan dengan tahun 1446 Hijrah beserta dengan tema tahun-tahun sebelumnya.
Tema Maulidur Rasul
- 2024 : “Al Falah Pemacu Malaysia Madani”
- 2023 : “Perpaduan Teras Malaysia Madani”
- 2022 : “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”
- Konsep ‘Keluarga Malaysia’ telah dianggap sebagai satu simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi krisis akibat pandemik COVID-19. ‘Keluarga Malaysia’ jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam menghadapi situasi yang mencabar. Konsep ‘Keluarga Malaysia’ telah menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan untuk masyarakat bekerja secara bersamasama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.
- Tiga teras utama yang digariskan iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dijadikan sebagai nilai dalam konsep Keluarga Malaysia. Manakala antara pengkayaan nilai di bawah tiga teras ini adalah seperti berikut, Menyemai budaya integriti dalam keluarga; Menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga; Menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.
- Bersandarkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini, negara akan dipacu untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi, seterusnya menjamin kesejahteraan setiap penduduk di negara bertuah ini. Konsep Keluarga Malaysia ini sesuai bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada pandemik COVID-19. Konsep Keluarga Malaysia berpaksikan kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan. Ulasan lengkap tema boleh dirujuk di JAKIM
- 2021 : “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”
- Suatu motivasi kepada ummah untuk meletakkan nilai ‘Rabbani’ iaitu menjadikan Allah SWT segala-galanya dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi getir dan sukar. Ia diinspirasikan daripada sifat dan sikap Nabi Muhammad SAW itu sendiri
- Antara sifat mulia Nabi Muhammad SAW yang wajar diikuti ialah bersifat benar dalam semua perkataan dan perbuatan, bersifat jujur, dipercayai dan juga bijaksana dalam menyampaikan dakwah
- Sekiranya kita membaca sirah Nabi Muhammad SAW, jelas menunjukkan Baginda sebagai seorang pemimpin yang beretika tinggi dengan akhlak yang mulia merangkumi sifat-sifat integriti, kejujuran dan amanah dan ia begitu sebati sehingga Baginda diberi gelaran ‘Al-Amin.’
Dalam aspek pentadbiran dan pembuatan keputusan, Nabi Muhammad SAW mengamalkan sikap terbuka dan sentiasa mendengar buah fikiran ramai menerusi konsep ‘syura.’
- Nabi Muhammad SAW sangat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kehebatan Allah SWT, yang menjadikan Baginda seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementingkan diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan
- Nabi Muhammad SAW sentiasa menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dan semua itu bertujuan bagi mewujudkan persekitaran yang dapat merangsang sebuah pentadbiran negara yang beretika dengan nilai-nilai yang murni
- Ciri-ciri kepimpinan ini telah berjaya membentuk sebuah negara Islam yang dijulang tinggi dan disegani. Nabi Muhammad SAW adalah merupakan sebaik-baik ‘role model’ untuk diteladani dan diikuti oleh seluruh umat Islam di muka bumi ini. SUMBER
- 2020 : “Ummah Rabbani Negara Harmoni”
- Tema itu bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa dan agama yang telah pun dicontohkan di zaman Nabi Muhamad SAW.
- Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti dan merupakan tunjang dalam kebanyakan pelan-pelan yang dibangunkan oleh kerajaan
- Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian ini amat berkait rapat dengan maqasid Syariah dan perkara ini turut dinyatakan oleh Imam AI-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan
- 2019 : Negara Rahmah, Ummah Sejahtera. Tema yang sama dengan Tema Maal Hijrah 2019
- 2018 : “Menyantuni Umat Membawa Rahmat”.
- 2017 : ”Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara”
- 2016 : “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”
- 2015 : “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”
- 2014 : “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah
Maulidur Rasul
Sesungguhnya kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW adalah merupakan titik tanda kelahiran agama. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian.
Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi. Islam yang kemudiannya telah membawa rahmat kepada sekalian alam. Mesej kerahmatan untuk sekalian alam menandakan bahawa Islam datang dengan mesej kesejagatan, iaitu sebagai agama yang tidak semata-mata untuk satu kaum, bangsa atau sesebuah kawasan. Melalui mesej kesejagatan ini sahaja jika diperhalusi sudah memadai untuk kita meyakini akan kebenaran agama Islam ini.
Nabi Muhammad SAW
Rasulullah SAW sebagai seorang insan kamil yang tinggi keperibadian dan tiada tolok bandingannya. Maka baginda perlu dijadikan ikon perpaduan ummah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
- Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam susah dan senang).” (Surah Al-Ahzaab : 21)
Jelaslah, sesiapa sahaja yang menginginkan kehidupan di dunia hingga akhirat berjalan sempurna sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Maka tiada jalan lain kecuali kembali mengamalkan ajaran al-Quran dan Hadis dalam kehidupannya. Kerana al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi orang yang bertakwa.
Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W). Dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. Dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.
Selamat menyambut sambutan Maulidur Rasul 2024 bersamaan dengan tahun 1446 Hijrah.