Kad Pengenalan atau MyKad merupakan kad paling penting buat rakyat Malaysia. Setiap individu hanya mempunyai sekeping MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang asli sebagai tanda pengenalan atau identiti diri serta berfungsi untuk pelbagai urusan penting. Namun begitu, bagaimana jika MyKad anda hilang atau mengalami kerosakan yang teruk? Tahukah anda bagaimana caranya untuk membuat permohonan Gantian MyKad atau mengganti MyKad yang hilang atau rosak kepada yang baru? Berikut dikongsikan maklumat berkaitan Cara Ganti Mykad secara atas talian/ online.
Barangkali ramai yang masih menggunakan cara lama untuk menyelesaikan urusan seperti mengganti MyKad dengan menghadirkan diri ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Namun begitu, sebenarnya terdapat perkhidmatan untuk memudahkan urusan penggantian MyKad yang disediakan secara atas talian atau online melalui laman web JPN supaya pemohon dapat membuat urusan ini di mana saja mereka berada asalkan mempunyai sambungan dengan talian internet.
Senarai Isi Kandungan
Cara Ganti Mykad Secara Online
Berikut dikongsikan maklumat penting berkaitan Cara Ganti Mykad Secara Online yang merangkumi link/pautan untuk membuat pendaftaran serta langkah-langkah lanjut untuk melengkapkan proses permohonan gantian MyKad.
Langkah Permohonan Gantian MyKad Secara Online
Penting : Sekiranya anda hendak melakukan gantian MyKad kerana kehilangan, buat laporan polis terlebih dahulu sebelum merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara atau melakukan permohonan gantian secara online. Hal ini adalah perlu untuk mengelakkan kad pengenalan yang hilang tersebut daripada digunakan untuk sebarang aktivitI jenayah
1. Para pemohon boleh mengakses laman web dengan menekan pautan yang disediakan di bawah:
2. Klik Mohon Gantian Bagi MyKad Anda di bahagian Dalam Talian
A) PERMOHONAN AKAUN BARU
3. Untuk mendapatkan akses kepada sistem, pengguna perlu membuat pendaftaran akaun baru terlebih dahulu. Klik pautan malaysia.gov untuk melakukan pendaftaran akaun baru
4. Isikan maklumat-maklumat penting yang diperlukan. Klik Hantar
5. Pautan pengaktifan kata laluan akan dihantar ke emel yang didaftarkan
6. Klik pada pautan di emel untuk mengesahkan proses pengaktifan kata laluan tersebut
B) LOG MASUK AKAUN
7. Klik Log Masuk dan pilih cara log masuk menggunakan Password atau kata laluan
8. Isikan nombor kad pengenalan. Klik NEXT.
9. Kemudian isikan kata laluan yang telah dicipta. Klik LOG MASUK
C) PERMOHONAN GANTIAN MYKAD
10. Klik Mohon di sini
11. Akuan Penafian akan ditunjukkan. Baca dan klik Setuju sekiranya berpuas hati
12. Lengkapkan bahagian MAKLUMAT PEMOHON iaitu Nama Pemohon, No. Kad Pengenalan dan No. Talian Bimbit. Pilih salah satu daripada empat (4) JENIS PENGGANTIAN yang dinyatakan
13. Pilih Negeri dan Cawangan untuk mengutip MyKad baru yang telah siap nanti
14. Setelah selesai melengkapkan maklumat, klik Teruskan
15. Suatu notifikasi akan muncul yang menyatakan adakah anda bersetuju untuk meneruskan proses permohonan atau kembali ke laman sebelumnya. Klik OK untuk meneruskan permohonan
D) PROSES PEMBAYARAN
16. Sistem akan memaparkan maklumat pemohon seperti Nama, No. Kad Pengenalan, Alamat, No. Talian Bimbit dan Jenis Penggantian. Di bahagian bawah, jumlah bayaran yang perlu dibayar akan dinyatakan
Nota: Urusan berkaitan pertukaran alamat cuma boleh dilakukan di kaunter JPN sahaja
17. Untuk kehilangan kali pertama, kompaun sebanyak RM100 akan dikenakan bersama caj permohonan sebanyak RM10. Maka pemohon perlu membayar sejumlah RM110
18. Klik pada kotak persetujuan dan klik Teruskan
19. Proses pembayaran boleh dilakukan menggunakan kad kredit atau kad debit dengan klik MasterCard / VISA
E) CETAK RESIT PEMBAYARAN
20. Setelah selesai proses pembayaran, anda perlu mencetak resit pembayaran (tunggu beberapa minit sekiranya status masih dalam proses. Setelah status berubah kepada Cetak, resit anda boleh dicetak
Nota :
- Jika Status Tidak Berjaya, bermakna permohonan anda gagal. Apa-apa pembayaran yang telah dilakukan akan dikembalikan kepada akaun pemohon
- Jika Status Dalam Proses, bermakna pembayaran telah berjaya diterima dan sedang dikemaskini di JPN
- Jika Status Cetak, JPN telah berjaya mengemaskini data dan pengguna sistem boleh mencetak resit untuk kutipan MyKad
21. Bawa resit sebagai bukti pembayaran ketika mengambil MyKad baru di kaunter JPN nanti
Manual Pengguna Sistem Gantian MyKad Atas Talian
Bagi yang menghadapi kesulitan melengkapkan permohonan gantian MyKad atas talian, boleh muat turun manual pengguna menerusi pautan di bawah:
Semakan Status Permohonan MyKad
Setelah melengkapkan permohonan gantian MyKad, pemohon boleh membuat semakan status untuk mengetahui samada MyKad baru telah siap untuk dikutip di JPN atau belum. Panduan membuat semakan status Permohonan MyKad adalah seperti berikut:
Carta Bayaran Perkhidmatan Gantian Mykad
Bayaran perkhidmatan gantian MyKad yang dikenakan adalah berbeza-beza mengikut jenis gantian. Butirannya adalah seperti berikut:
1. GANTIAN CIP ATAU KAD ROSAK
- PERCUMA: Jika ada apa-apa kerosakan kad secara fizikal atau pada cip kad tersebut dalam tempoh 12 bulan dari tarikh serahan kad
- RM10: Jika ada apa-apa kerosakan kad secara fizikal atau pada cip kad tersebut selepas tempoh 12 bulan dari tarikh serahan kad
2. Gantian Biasa
- RM10: Untuk menaiktaraf cip dari 32k/64k ke 80k
3. Gantian Disebabkan Kehilangan
- Bayaran untuk gantian kehilangan adalah berbeza mengikut kehilangan kali ke berapa. Bayaran permohonan tetap pada RM10 untuk warganegara dan RM40 untuk bukan warganegara tetapi bayaran kompaun akan meningkat sekiranya berlaku kehilangan MyKad untuk kali kedua atau kali ketiga dan seterusnya. Jadual bayarannya adalah seperti berikut:
JENIS KEHILANGAN | BAYARAN (WARGANEGARA) | ||
PERMOHONAN | KOMPAUN | JUMLAH | |
Kali Pertama | RM10 | RM100 | RM110 |
Kali Kedua | RM10 | RM300 | RM310 |
Kali Ketiga Dan Seterusnya | RM10 | RM1000 | RM1010 |
JENIS KEHILANGAN | BAYARAN (BUKAN WARGANEGARA) | ||
PERMOHONAN | KOMPAUN | JUMLAH | |
Kali Pertama | RM40 | RM100 | RM140 |
Kali Kedua | RM40 | RM300 | RM340 |
Kali Ketiga Dan Seterusnya | RM40 | RM1000 | RM1040 |
4. Denda Bagi MyKAD Tak Dituntut
- RM20: Bagi pemohon yang pernah memohon dan tidak menuntut MyKad yang dipohon, tetapi melakukan permohonan MyKad baru
- Nota : Bayaran RM20 akan dikenakan untuk setiap kad yang dipohon tetapi tidak dituntut
Maklumat Penting Perkhidmatan Gantian Mykad Online
Antara perkara yang perlu diambil perhatian bagi para pemohon berkaitan perkhidmatan gantian MyKad secara online adalah seperti berikut:
- Bayaran hanya boleh dilakukan melalui kad debit dan kad kredit sahaja
- Alamat yang direkodkan di dalam sistem ini adalah untuk kegunaan sistem dan bukan untuk pertukaran alamat di MyKad. Pengguna perlu hadir ke kaunter JPN yang berdekatan untuk urusan pertukaran alamat
- Waktu operasi Sistem Gantian MyKad atas talian JPN adalah seperti berikut:
- Isnin hingga Jumaat: 8.00 pagi hingga 4.30 petang
- Sabtu & Ahad: Sistem Ditutup
- Cuti umum: Sistem Ditutup
- Sistem online ini hanya menawarkan empat (4) jenis gantian sahaja iaitu:
- MyKad hilang
- MyKad mengalami kerosakan
- Cip MyKad mengalami kerosakan
- Menaiktaraf cip sedia ada (32k atau 64k) ke 80k
- Setelah transaksi permohonan dalam talian berjaya, pemohon boleh mengambil MyKad baru dipusat kutipan. Namun begitu, waktu kutipan adalah berbeza bergantung kepada pilihan pusat kutipan seperti berikut:
- Ibu Pejabat JPN W.P Putrajaya: 30 minit
- Ibu Pejabat Negeri: 30 minit
- Semua Cawangan UTC: 30 minit
- JPN Cawangan Semenanjung Malaysia: 5 hari waktu bekerja
- JPN cawangan Sabah & Sarawak: 7 hari waktu bekerja
- Hanyak pemilik MyKad yang dipohon dibenarkan untuk mengutip MyKad di kaunter JPN
Iklan Sistem Gantian MyKad Online
Peranan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
JPN memainkan peranan penting dalam mendaftarkan maklumat individu yang merangkumi perihal-perihal berikut:
- Maklumat Kelahiran
- Kad Pengenalan (MyKad/MyPR/MyKAS dan MyKid)
- Kewarganegaraan
- Perkahwinan bagi yang bukan beragama Islam
- Kematian
Perkhidmatan Atas Talian (Online) Oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
JPN menyediakan perkhidmatan online bagi urusan-urusan berikut:
- Permohonan gantian MyKad melalui Sistem Gantian MyKad
- Semakan status permohonan MyKad/MyPR/MyKAS
- Semakan status permohonan MyKid
Maklumat Lanjut Permohonan Gantian MyKad
Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan Cara Ganti Mykad atau sistem permohonan gantian MyKad online, rujuk butiran yang disediakan di bawah:
No. Tel
- 03-8000 8000
Saluran Aduan & Pertanyaan
E-mel
- mykadganti@jpn.gov.my (pertanyaan berhubung sistem)
- pro@jpn.gov.my (pertanyaan berhubung JPN)
Semoga perkongsian maklumat berkaitan Cara Ganti Mykad Secara Online ini dapat memberi manfaat buat semua. Selamat membuat permohonan dan semoga urusan gantian MyKad anda berjalan dengan mudah.