Perhatian buat seluruh pelajar tingkatan 3 di peringkat menengah rendah, bagi mereka yang mengambil subjek Asasi Sains Komputer (ASK), pastinya tugasan kerja projek ASK telah pun diberikan oleh guru-guru bermula bulan Mac yang lalu dan bakal berakhir pada bulan Ogos kelak. Bagaimana cara untuk menyiapkan Kerja Projek ASK Tingkatan 3? Berikut adalah panduan kerja projek ASK tingkatan 3.
Asas Sains Komputer merupakan salah satu subjek dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Kerja Projek ASK pula membawa markah sebanyak 30% daripada kesuluruhan skor subjek. Ini adalah amat penting kerana ASK juga merupakan salah sebuah subjek yang diambil kira dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)
Kerja projek adalah sebuah tugasan yang lebih difahami sebagai pembinaan atau siasatan secara efisyen atau teratur serta tertumpu kepada topik yang spesifik. Di peringkat sekolah, kerja projek akan diberikan selepas pelajar menguasai kemahiran atau ilmu yang telah dipelajari.
Bagi Kerja Projek KSSM ASK Tingkatan 3, ianya adalah salah sebuah komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang wajib dijalankan oleh pelajar secara individu ketika di Tingkatan 3. Justeru itu, guru akan melaporkan perkembangan penguasaan murid beserta skor markah pelajar yang akan dihantar ke Lembaga Peperiksaan (LP) yang mewakili 30% wajaran daripada markah keseluruhan PT3 ASK
Senarai Isi Kandungan
Panduan Kerja Projek ASK Asas Sains Komputer Tingkatan 3
Berikut dikongsikan panduan kerja projek ASK KSSM Tingkatan 3 seperti objektif, cara pelaksanaan kerja projek, format pelaporan, serta cara pentaksiran kerja projek tersebut
Objektif Kerja Projek Asas Sains Komputer
Dengan adanya Kerja Projek KSSM ASK Tingkatan 3 (KPKAT3), ianya membolehkan pelajar:
- Memperoleh pengalaman yang bermanfaat semasa melaksanakan KPKAT3 dengan menghubungkaitkan ia dengan dunia sebenar
- Membudayakan proses pembelajaran berasaskan inkuiri bagi memahami sesuatu konsep untuk menyelesaikan sesebuah masalah yang berkesan dengan mengkaji masalah daripada pelbagai aspek menerusi teknik penyoalan, siasatan, perancangan dan ramalan, analisa dapatan, merekod dapatan sert membuat rumusan
- Dapat menyusun, menganalisis dan mempersembahkan data atau idea secara logik dan sistematik
- Mampu mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan memupuk proses pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah
- Dapat menyelesaikan masalah dengan keupayaan diri sendiri dengan cara mengenal pasti masalah dan menilai kesesuaian kaedah penyelesaian masalah yang digunakan
- Mampu mengesan dan membetulkan kesalahan algoritma dalam menyelesaikan masalah secara perancangan berpandukan pemikiran logik
- Dapat menggunakan algoritma serta menghasilkan atur cara berdasarkan pemikiran komputasional seperti yang dirancang
- Mampu mereka bentuk sistem bagi menyelesaikan masalah melalui cara memahami tingkah laku manusia
- Dapat menggunakan pemikiran komputasional bagi menyelesaikan masalah kompleks berteraskan komputer
- Mampu menghasilkan dokumentasi serta produk atur cara dalam bentuk pelbagai media digital secara kreatif dan inovatif
- Dapat mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran pengkomputeran secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab
Cara Pelaksanaan/ Panduan Kerja Projek ASK KSSM
Berdasakan Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kerja Projek ASK ini mestilah:
- Berasaskan kepada gabungan semua bidang pembelajaran yang telah dipelajari
- Diintegrasikan sekurang-kurangnya dengan satu mata pelajaran lain
- Hendaklah dilaksanakan secara individu.
Format Pelaporan Kerja Projek ASK
Guru perlu menjadi pembimbing dan memantau perkembangan projek murid. Pada dasarnya Kerja Projek pelajar termasuklah
1) Dokumentasi
Berikut adalah format pelaporan bagi Kerja Projek ASK Tingkatan 3:
A) Kulit Hadapan
i. Nama Mata Pelajaran
ii. Tajuk Kajian
iii. Nama Sekolah
iv. Nama Pelajar
v. Nombor Kad Pengenalan Pelajaran
vi. Angka Giliran Peperiksaan
vii. Nama Penilai
viii. Tarikh Dihantar
B) Kandungan
i. Pendahuluan
ii. Carta Ganntt
iii. Fasa Pembangunan Atur Cara
a. Analisis Masalah
b. Reka Bentuk Atur Cara
c. Pengekodan
d. Pengujian dan Penyahpepijatan
e. Dokumentasi
iv. Pelaporan penggunaan teknik pemikiran komputasional untuk setiap fasa pembangunan atur cara
v. Penghasilan Produk
vi. Cadangan Penambahbaikan
vii. Penutup
2) Produk Atur Cara Dalam Bentuk Media Digital
3) Pembentangan
Pentaksiran Kerja Projek KSSM ASK
Bagi membolehkan elemen pengetahuan, kemahiran dan nilai ditaksir secara konsisten, teratur dan terarah, pentaksiran kerja projek pelajar adalah berdasarkan:
- Rubrik Pentaksiran Kerja Projek KSSM ASK pada Jadual 1 seperti yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM ASK Tingkatan 3
Untuk mendapat panduan lebih jelas dan lengkap, sila rujuk lampiran di dokumen panduan KPKAT3 seperti pautan di bawah:
Maklumat Lanjut dan Pertanyaan
Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan mengenai KPKAT3, sila rujuk butiran berikut:
- Alamat: Unit Pendidikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, Aras 4-8 Blok E9, Kompleks Kerajaan Parcel E, 62604, Putrajaya
- Telefon: 03-88842000
- Faks: 03-88889917
- Laman Web: http://bpk.moe.gov.my/
Semoga perkongsian mengenai KPKAT3 ini dapat membantu memberi pencerahan buat para pelajar yang bakal menyiapkan tugasan ini serta buat para guru yang bakal memberikan permakahan dan menilai hasil kerja kursus para pelajar tersebut. Diharapkan kualiti pendidikan kita sentiasa bertambah baik dan seterusnya membantu membangunkan dan memajukan negara.