Langkah Memupuk Semangat Patriotik, Contoh karangan spm Cara Memupuk Semangat Patriosme Dalam Kalangan Generasi Muda Di Malaysia.

Langkah Memupuk Semangat Patriotik

Panduan buat pelajar yang inginkan contoh terbaik karangan bertajuk Langkah Memupuk Semangat Patriotik Dalam Kalangan Generasi Muda. Berikut dikongsikan beberapa contoh karangan berkaitan untuk rujukan pelajar dalam menghadapi ujian atau exam yang mendatang.

Semangat patriotisme adalah bermaksud semangat cintakan kepada negara atau tanahair tercinta. Kita seharusnya mempunyai sikap untuk menyayangi negara tempat kita dilahirkan dan dibesarkan. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara. Dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama/ imej negara tercinta.

Langkah Memupuk Semangat Patriotik

Semangat Patriotik Dalam Kalangan Remaja

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita terutama para remaja. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.

Berikut dikongsikan contoh karangan langkah untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat buat panduan untuk generasi muda atau remaja.

Langkah Memupuk Semangat Patriotik/ Patriosme Dalam Kalangan Generasi Muda

Contoh 1

Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik. Isu yang mencetuskan polemik dalam kalangan media massa saban hari ini pantas meniti dari bibir ke bibir. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya hedonistik yang begitu cepat merebak umpama virus epidemik. Maka, prakarsa yang pragmatik perlu diambil demi memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi menjadi bubur.

Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan. Program yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Hal ini demikian kerana tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak dan aktiviti berkumpulan.

Melalui aktiviti-aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggung jawab, bekerjasama, dan hormat menghormati. Hal ini dapat memupuk perpaduan yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai. Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong dapat menjadi inspirasi dan idola para remaja.

Tokoh Negara

Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata. Para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan. Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Para remaja digalakkan menyertai PLKN dan membaca kehidupan tokoh-tokoh pejuang bangsa bagi menyuburkan kecintaan kepada negara. Pendek kata, “Negara Kita Tanggungjawab Kita” tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua.

Contoh 2

Setiap kali kehadiran bulan Ogos setiap tahun, isu berkenaan semangat patriotisme di kalangan remaja sering kali menjadi bualan masyarakat Malaysia. Patriotisme selalunya dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

Remaja kurang semangat patriotisme kerana tidak merasai kesusahan hidup semasa zaman penjajahan, contohnya orang yang hidup zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu pasti teringat semasa mereka menghadapi kesusahan untuk mendapat bekalan makanan dan pakaian. Mereka pasti akan rasa bertuah kerana hidup pada masa kini lebih baik. Remaja yang tidak mempunyai semangat patriotisme lebih mudah untuk berhijrah ke negara asing jika negara kita mengalami kesusahan seperti masalah ekonomi, bencana alam dan sebagainya.

Melawat Tempat Bersejarah (Langkah Memupuk Semangat Patriotik)

Justeru,kita perlu mencari berbagai-bagai cara untuk memupuk semangat patriotisme. Cara pertama untuk memupuk semangat patriotisme ialah ibu bapa perlu memainkan peranan. Ibu bapa boleh mengajak anak-anak ke tempat bersejarah. Contoh tempat bersejarah yang boleh dilawati ialah Kota ‘A’ Famosa di Melaka. Ibu bapa juga boleh menceritakan tentang kejatuhan kerajaan Melaka dan Portugis membina ‘A’ Famosa. Ibubapa juga boleh bercerita kepada anak-anak tentang kisah bagaimana tokoh zaman dahulu membangunkan negara.

Ibu bapa boleh membelikan anak-anak buku, DVD dan sebagainya yang mengandungi isu-isu berkaitan patriotisme. Perkara ini sesuai dilakukan kepada anak-anak sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jelaslah ibu bapa merupakan orang yang kuat mempengaruhi anak-anak dengan semangat patriotisme. Selain itu,pihak sekolah perlu memainkan peranan utama. Pelajar-pelajar menghabiskan masa selama lebih daripada 6 jam setiap hari di sekolah. Justeru,peluang sangat terbuka kepada guru untuk menerapkan elemen patriotisme melalui pelbagai matapelajaran seperti Sejarah, Sivik dan Kewarganegaraan, Bahasa Melayu, Geografi dan sebagainya.

Peranan Guru

Guru juga boleh mengajak pelajar-pelajar menyertai pelbagai seperti ucapan, pidato, bahas dan sebagainya. Pada bulan kemerdekaan, guru boleh mengajak pelajar menyertai sambutan hari kemerdekaan. Antara acara yang boleh dijalankan termasuk nyanyian lagu patriotik,tayangan filem berkaitan semangat patriotik dan sebagainya. Jelaslah, pihak sekolah turut sama berperanan untuk menyemai semangat patriotis di kalangan pelajar sepanjang tahun mereka berada di sekolah.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotisme ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Kementerian Penerangan Malaysia di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara.

Selain itu, media elektronik itu juga hendaklah menyiarkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh” dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Jelaslah bahawa media massa juga seharusnya memainkan peranan dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di negara kita. Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan dikampung-kampung dan juga di kawasan perumahan.

Aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Disamping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kemerdekaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Kesimpulan

Jelaslah bahawa peranan kerajaan juga dapat memupuk semangat patriotisme pelbagai kaum di negara kita. Kesimpulannya, cara untuk memupuk semangat patriotisme perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana dapat melahirkan warganegara yang cinta akan negara dan menjadi individu yang berguna kepada bangsa dan negara. Kredit

Semoga generasi muda negara akan terus mempunyai semangat patriotik yang jitu dalam membentuk sebuah negara yang maju dan makmur.

Rel : penting untuk, malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan, berkesan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, memainkan peranan masing masing agar semangat, contoh karangan cara memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, untuk mengibarkan, langkah untuk memupuk semangat patriotik,

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *