Umum mengetahui bahawa sebelum tanggal 31 Ogos 1957, negara kita telah berada di bawah naungan para penjajah. Menurut sejarah, Malaysia sudah dijajah selama hampir 446 tahun. Ia bermula dengan kejatuhan kerajaan Melayu Melaka kepada kekuasaan Portugis pada tahun 1511. Selain Portugis, Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu juga telah dijajah oleh beberapa kuasa asing lain. Mereka terdiri daripada Belanda, British dan Jepun. Berikutan itu, kita dapat melihat Kesan Penjajahan Barat Dan Jepun Terhadap Malaysia.
Pada awalnya, tujuan kedatangan kuasa-kuasa asing tersebut adalah atas sebab menjalankan urusan perdagangan yang berlangsung di Tanah Melayu. Atas beberapa kesilapan, kelemahan dan masalah yang berlaku, kuasa-kuasa asing ini berpeluang untuk mengambil kesempatan menjajah Tanah Melayu.
Selain itu, penjajahan berlaku kerana kuasa-kuasa asing tersebut memang memiliki kepentingan masing-masing untuk menakluk negara-negara di Asia Tenggara. Mereka bermatlamat untuk menguasai kawasan yang kaya dengan sumber bahan mentah. Selain itu menyebarkan dakyah keagamaan yang antaranya adalah agama Kristian. Pada peringkat awal kedatangan penjajah di negara ini, slogan 3G (Gold, Glory, Gospel) telah dijadikan sebagai motif untuk meluaskan kekuasaan mereka.
Senarai Isi Kandungan
Kesan Penjajahan Barat Dan Jepun Di Malaysia Terhadap Pentadbiran, Sosial Dan Ekonomi
Akibat peristiwa penjajahan yang berlaku, kita dapat melihat kesannya terhadap sistem politik, ekonomi dan sosial di Malaysia. Antara impak yang paling besar dapat kita saksikan adalah kewujudan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Berikut dikongsikan maklumat berkaitan Kesan Penjajahan Barat Dan Jepun Terhadap Malaysia berdasarkan aspek politik, ekonomi dan sosial:
Kesan Penjajahan Portugis Terhadap Malaysia
Portugis adalah kuasa asing pertama yang menduduki Melaka sejak tahun 1511 hingga tahun 1641. Meskipun menjajah Melaka dalam tempoh yang lama, Portugis tidak dapat menjayakan perluasan pengaruhnya. Mereka gagal menawan Naning dan Rembau serta tidak berjaya mengembangkan agama Kristian.
KESAN PENJAJAHAN BARAT – KESAN EKONOMI
Berikut dikongsikan kesan dari segi ekonomi akibat penjajahan Portugis:
- Pembinaan Kota A Famosa di Bandar Hilir, Melaka yang merupakan seni bina tertua Eropah yang masih berada di Asia
KESAN SOSIAL
Antara kesan peninggalan penjajah Portugis dari aspek sosial adalah seperti berikut:
- Kewujudan masyarakat hasil perkahwinan orang Portugis dengan penduduk tempatan. Contohnya kaum Eursia dan Serani beragama Kristian di Melaka.
- Masyarakat Melayu diperkenalkan dengan tulisan rasmi.
- Penciptaan perkataan berdasarkan bahasa Portugis seperti tuala, garpu, almari dan jendela.
- Kejatuhan kesultanan Melayu Melaka yang menyebabkan kemunculan kerajaan Melayu-Riau (tetapi pengaruhnya tidak berkesan)
- Kepercayaan Kristian atau Katholik di Maluku berkembang. Ia merupakan hasil usaha Fransiscus Xaverius yang menyebarkan agama tersebut
- Berkembangnya seni muzik keroncong dari Portugis.
- Peninggalan binaan benteng-benteng Portugis.
Kesan Penjajahan Belanda Terhadap Malaysia
Belanda adalah kuasa asing kedua yang menjajah Tanah Melayu. Mereka mula berdagang di kepulauan Melayu pada abad ke-17 dan mempunyai pusat perdagangan utama di Betawi (Jakarta) di Pulau Jawa. Untuk menarik para pedagang di Betawi, Belanda telah menghancurkan kekuasaan Portugi dis Melaka. Pada tahun 1641, atas bantuan kerajaan Johor, Portugis di Melaka telah berjaya ditewaskan.
KESAN PENJAJAHAN BARAT – KESAN POLITIK
Antara kesan politik penjajahan Belanda terhadap Malaysia adalah seperti berikut:
- Pada 20 Mac 1602, Syarikat Bersatu Hindia Timur atau VOC (Vereenigde Oost-Indische Compagnie) telah ditubuhkan oleh para pedagang Belanda. Tujuan utama penubuhan VOC adalah untuk menguasai perdagangan rempah dan bijih timah.
- Pelabuhan Melaka merosot dari segi populariti kerana Belanda telah menjadikan Betawi sebagai pelabuhan perdagangan.
- Campurtangan pihak Belanda secara intensif dalam pergolakan istana. Termasuk urusan takhta, pentadbiran serta ekonomi menyebabkan kekuasaannya semakin kuat.
KESAN EKONOMI
Berikut dikongsikan kesan dari segi ekonomi akibat penjajahan Belanda:
- Peninggalan bangunan Stadhuys yang menjadi penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor di Melaka sewaktu tahun 1650.
KESAN SOSIAL
Dari segi sosial, kesan penjajahan Belanda adalah seperti berikut:
- Peninggalan kubur Belanda yang terkenal di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka.
Kesan Penjajahan Inggeris/ British Terhadap Malaysia
Kuasa ketiga yang wujud di Tanah Melayu adalah Inggeris/British. Setelah Francis Light menduduki Pulau Pinang pada 11 Ogos 1786 dan Stamford Raffles menduduki Singapura pada 6 Februari 1819, maka bermulalah cubaan British untuk menguasai Tanah Melayu dari semasa ke semasa. Kejatuhan Singapura dan tanah besar Johor ke tangan British menandakan berakhirnya empayar Johor.
KESAN POLITIK
Penjajahan British telah membawa kesan yang besar terhadap politik di negara kita. Antaranya:
- Perubahan struktur politik dari feudalisme (raja atau sultan mempunyai kuasa mutlak) kepada sistem Demokrasi.
- Sistem dua lapis serta majlis legislatif separa dipilih diperkenalkan. Pentadbiran bercorak Republik menggantikan sistem kemaharajaan.
- Penubuhan Dewan Rakyat yang merupakan salah satu daripada dua dewan Parlimen Malaysia. Sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, rang undang-undang perlu diluluskan. Rang tersebut mudah diluluskan sekiranya mendapat sokongan majoriti.
- Pembentukan Dewan Negara. Ia berperanan untuk membahaskan sebarang rang undang-undang yang telah mendapat kelulusan. Dewan Negara (Senat) merupakan Majlis Tertinggi. Ahli-ahlinya memegang jawatan yang mempunyai tempoh selama tiga tahun.
- Wujud dualism dalam sistem perundangan di Malaysia iaitu Sivil dan Syariah. Undang-undang British digunakan sepenuhnya dalam Mahkamah Sivil manakala undang-undang Persekutuan membataskan kuasa Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah dikeluarkan daripada hierarki Mahkamah Persekutuan dan bernaung di bawah kuasa negeri.
- Bidang kuasa undang-undang Islam terhad untuk hal kekeluargaan, pewarisan dan kesalahan jenayah sahaja.
- Raja Melayu yang memegang jawatan sebagai ketua Agama Islam mempunyai kuasa yang terbatas.
- Orang Melayu bersatu, menyebabkan tertubuhnya persatuan-persatuan yang bercorak kenegerian. Antaranya adalah Persatuan Melayu Pahang, Persatuan Melayu Kelantan, Persatuan Melayu Perak, dan banyak lagi.
- Berlakunya penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union secara besar-besaran pada tahun 1946.
- Pembentukan Parti politik berteraskan kaum masing-masing seperti UMNO, MCA dan MIC.
KESAN EKONOMI
Dari segi ekonomi juga terdapat kesan hasil penjajahan British. Antaranya adalah:
- Pengenalan dasar ekonomi yang berbentuk bebas menyebabkan kemasukan pelabur-pelabur asing.
- Pengenalan ekonomi dagangan seperti pertanian dan perlombongan. Hasilnya, ekonomi tradisional orang Melayu dipinggirkan dan menyebabkan ekonomi di pantai barat dan timur menjadi tidak seimbang. Akhirnya British mengambilalih ekonomi dagangan serta mengimport buruh dari China.
- Penggunaan alat pertanian yang lebih baik dan teknik pertanian moden selain sektor perindustrian turut dimajukan.
- Masyarakat mengusahakan ekonomi sara diri/lebihan produk seperti bijih timah, penternakan binatang berskala kecil.
- Revolusi perindustrian berlaku menyebabkan permintaan getah meningkat terutamanya dalam penghasilan automobil
- Kewujudan PATI dari India membawa kepada kemerosotan industri getah pada zaman kemelesetan Ekonomi Dunia.
- Perkembangan sektor kesihatan bandar dan luar bandar. Hal ini dapat dilihat melalui pengenalan sistem perubatan moden (terdapat doktor, jururawat, klinik dan pusat-pusat kesihatan).
- Pembinaan Hospital kerajaan terawal di Taiping dan Kuala Lumpur serta pusat perubatan di Batu Gajah, Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur oleh orang barat.
- Orang barat mewujudkan Sanitary Board untuk menjaga kebersihan dan kesihatan awam di bandar Kuala Lumpur.
- Pembinaan landasan kereta api untuk memindahkan bijih timah ke pelabuhan dengan lebih pantas untuk dieksport. Antaranya dari Taiping ke Port Weld dan Seremban ke Port Dickson.
- Pengangkutan kereta api menyumbang kepada pembukaan tanah baru di kawasan pedalaman dengan tanaman getah.
- Rangkaian jalan raya menggantikan jalan denai. Hal ini berlaku setelah kenderaan bermotor diperkenalkan untuk mengangkut bijih timah dan getah ke pangkalan sungai.
- Sistem komunikasi seperti telegraf, telefon dan pos diperkenalkan untuk memudahkan urusan pengangkutan dan perhubungan.
- Pengenalan penggunaan mata wang kertas kerajaan British bagi Negeri-Negeri Selat di bawah Lembaga Pesuruhjaya Wang. Wang kertas tersebut digunakan di Tanah Melayu dan menyumbang kepada penggunaan mata wang kertas sehingga sekarang.
- Kewujudan lebih banyak pelabuhan penting serta kemajuan dari segi perkapalan.
KESAN SOSIAL
Antara kesan peninggalan penjajah British dari aspek sosial adalah seperti berikut:
- Pengenalan sekolah-sekolah vernakular Melayu dan Inggeris. Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil turut diperkenalkan. Penduduk Tanah Melayu yang mempelajari Bahasa Inggeris di Sekolah Inggeris berpeluang menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
- Penduduk Tanah Melayu diperkenalkan dengan tulisan rumi yang menggantikan tulisan Jawi. Hasilnya, tulisan rumi dan Bahasa Inggeris masih digunapakai di Malaysia hingga ke hari ini.
- Pembentukan masyarakat majmuk akibat kemasukan buruh-buruh dari China dan India ke Tanah Melayu. Mereka akhirnya menjadi penduduk tetap Malaysia sehingga kini.
- Dasar Pecah Perintah yang dijalankan oleh British menyebabkan orang Melayu ketinggalan. Tidak seperti kaum Cina dan India, orang Melayu tidak dapat terlibat dengan ekonomi komersial kerana tekanan daripada British sendiri.
- Cara pemikiran orang Melayu sudah menjadi lebih terbuka. Mereka kurang mempercayai perkara-perkara seperti pantang-larang, petua dan lain-lain sejak kedatangan kuasa barat.
- Lanskap atau demografi Tanah Melayu berubah daripada kawasan pedalaman dan kampung menjadi kawasan bandar akibat perkembangan pesat perlombongan bijih timah dan penanaman getah.
- Unsur-unsur barat dapat dilihat melalui senibina bangunan yang mempunyai ciri-ciri dan reka bentuk moden serta bidang muzik seperti rock, balada, jazz dan sebagainya.
Kesan Penjajahan Jepun Terhadap Malaysia
Kuasa terakhir yang pernah menjajah Tanah Melayu suatu ketika dahulu adalah Jepun. Pendudukan mereka bermula pada 15 Februari 1942 dan berakhir pada 12 September 1945. Slogan yang dibawa oleh Jepun adalah ‘Asia untuk orang Asia’ dan ramai penduduk Tanah Melayu yang terpengaruh dengan slogan tersebut.
KESAN POLITIK
Pendudukan Jepun telah memberi kesan terhadap politik di negara kita seperti:
- Individu seperti Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau, Mat Salleh, Dato’ Maharajalela dan lain-lain lagi bangkit menentang penjajahan British.
- Kejayaan orang Jepun menduduki Tanah Melayu meyakinkan para penduduk bahawa orang Asia mampu menentang orang barat yang dikatakan sebagai kuat dan berpengaruh. Hal ini disebabkan oleh slogan yang dibawa tentera Jepun iaitu ‘Asia untuk orang Asia’.
- Tertubuhnya Parti Komunis Malaya yang diasaskan oleh orang Cina untuk menghalau Jepun dari Tanah Melayu. Selama 14 hari, negara kita telah dikuasai oleh Parti Komunis Malaya (bintang tiga) yang menyebabkan kekacauan, persengketaan dan pertempuran antara kaum.
- Orang-orang Melayu terbina keyakinan untuk memerintah negara sendiri hasil pengalaman dalam kerja-kerja pentadbiran Jepun. Kaum Melayu berasa mereka tidak lagi dapat mengharapkan British.
KESAN EKONOMI
Kesan penjajahan Jepun dari segi ekonomi adalah seperti berikut:
- Kegiatan ekonomi Tanah Melayu lumpuh kerana British memusnahkan segala perlombongan bijih timah dan perusahaan getah sebelum menyerah kalah. Kemusnahan yang dilakukan termasuk harta benda dan infrastruktur.
- Sewaktu pemerintahan Jepun, perdagangan antara Tanah Melayu dan dunia luar terputus disebabkan peperangan. Kekurangan barangan pengguna dan makanan terutamanya beras mengakibatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk merosot.
- Perlombongan dan perniagaan yang dikuasai Jepun mengakibatkan orang-orang Cina dan Eropah kehilangan hak perniagaan mereka.
- Ladang kelapa dan kelapa sawit turut dikuasai dan penjualan getah dikawal menyebabkan perusahaan getah tidak berkembang pada waktu itu.
- Jepun mengamalkan dasar pintu tertutup dan tidak menjalinkan hubungan dengan pihak luar. Ini menyebabkan masalah kekurangan makanan serta kehilangan pertukaran mata wang asing.
- Masalah kekurangan bekalan makanan diatasi dengan Jepun menjadikan bidang pertanian sebagai kegiatan umum. Penduduk tempatan digalakkan menanam makanan sendiri seperti sayur, buah dan ubi kayu.
- Kegiatan pasaran gelap semakin bertambah. Masalah kekurangan wang cuba diatasi dengan pemerintah Jepun mencetak Duit Pisang atau Wang Pokok Pisang namun ia hanya memburukkan lagi keadaan dan mengakibatkan nilai mata wang Jepun rendah di pasaran.
KESAN SOSIAL
Antara kesan penjajahan Jepun dari aspek sosial adalah:
- Timbulnya sikap antipenjajah dalam kalangan orang Melayu.
- Pihak Jepun telah menutup Sekolah Inggeris dan menumpukan pada pembelajaran Bahasa Jepun. Ini adalah salah satu usaha mereka untuk menukar identiti penduduk Tanah Melayu.
- Tahap kesihatan rakyat terjejas akibat tekanan ekonomi. Antara faktornya adalah terdedah kepada jangkitan penyakit dan mengamalkan pemakanan yang tidak sihat. Jumlah kematian meningkat secara mendadak akibat kekurangan zat makanan.
- Penduduk tempatan yang sakit tidak mendapat rawatan yang sepatutnya kerana ubat-ubatan tidak lagi dihantar ke klinik-klinik tetapi digunakan untuk kepentingan tentera Jepun.
- Penyebaran budaya Jepun ke atas penduduk Tanah Melayu dilakukan melalui nyanyian dan muzik. Lagu kebangsaan Jepun, Kimigayo diajar kepada murid-murid sekolah.
Diharap agar perkongsian maklumat berkaitan Kesan Penjajahan Barat Dan Jepun Terhadap Malaysia ini dapat memberi manfaat serta menambahkan ilmu pengetahuan anda. Ayuhlah kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa yang lalu supaya masa hadapan kita dapat dicorak dengan lebih baik.
Rel : orang cina dan india, tanah jajahan,