Cara Melukis Dan Mentafsir Graf Bar Geografi PT3 - Kegiatan Ekonomi. Cara mudah untuk lukis dan tafsir graf bar untuk tugasan kerja kursus geografi pt3 berkaitan tajuk kegiatan ekonomi di kawasan kajian.

Cara Melukis Dan Mentafsir Graf Bar Kegiatan Ekonomi Di Kawasan Kajian

Perhatian buat pelajar tingkatan tiga yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada tahun ini. Pastinya buat masa ini sedang sibuk menyiapkan tugasan kerja kursus atau kajian lapangan bagi beberapa subjek termasuklah Geografi. Bagaimana cara untuk menyiapkan tugasan tersebut? Berikut disediakan panduan atau cara melukis dan mentafsir graf bar kegiatan ekonomi di kawasan kajian.

Kerja kursus atau kajian lapangan geografi tingkatan 3 (KLGT3) ini merupakan salah satu instrumen di dalam subjek geografi yang perlu dilakukan oleh setiap pelajar. Ianya mewakili 20% daripada skor wajaran keseluruhan subjek Geografi manakala bagi ujian bertulis adalah sebanyak 80%. Justeru itu, adalah amat penting untuk menyiapkan tugasan ini untuk berjaya memperoleh gred A sekiranya dapat menjawab ujian bertulis dengan cemerlang.

Cara Melukis Dan Mentafsir Graf Bar geografi

Pada tahun ini, difahamkan setiap sekolah bebas untuk memilih tajuk atau topik kerja kursus tetapi terhad kepada silibus pengajian yang dipelajari pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Salah satu daripada tajuk yang diberikan kepada pelajar adalah berkenaan kegiatan ekonomi di kawasan sekolah/ tempat tinggal pelajar di mana pelajar harus melukis serta mentafsir graf bar bagi topik tersebut.

Cara Melukis Dan Mentafsir Graf Bar Untuk Tugasan Geografi : Kegiatan Ekonomi Di Kawasan Kajian

Berikut adalah panduan cara melukis dan mentafsir graf bar bagi topik khusus iaitu kegiatan ekonomi di kawasan kajian. Pelajar boleh juga menjadikannya sebagai rujukan untuk melukis dan mentafsir graf bar bagi tajuk lain yang bersesuaian.

Cara Melukis Graf Bar

Graf adalah bentuk grafik atau visual yang menunjukkan pertalian di antara satu pemboleh ubah (variabel) dengan satu pemboleh ubah (variabel) yang lain. Sesebuah graf boleh mempersembahkan maklumat dan data dengan lebih jelas dan mudah difahami atau dilihat. Terdapat beberapa jenis graf termasuklah graf bar mudah, graf garisan mudah, graf bar berganda, graf garisan berganda, graf gabungan dan graf majmuk.

Graf Bar Mudah

Antara graf yang paling kerap digunakan adalah graf bar mudah. Ianya digunakan untuk mempamerkan data yang boleh dikira seperti kenderaan, orang, haiwan dan sebagainya. Selain itu, ia juga digunakan untuk menunjukkan perbezaan antara komponen yang sedang dikaji. Graf bar mudah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  • Graf mempunyai bar, paksi mendatar, paksi menegak, tajuk serta petunjuk.
  • Bar-bar dilukis secara mendatar ataupun menegak
  • Tahap ketinggian bar adalah mewakili sesuatu komponen

Sebelum melukis graf bar mudah, lazimnya maklumat atau data yang dikumpulkan akan diklasifikasikan ke dalam bentuk jadual supaya lebih mudah untuk dilihat. Berikut adalah panduan untuk membina jadual menurut buku teks geografi.

Setelah mendapatkan ringkasan jadual yang lebih mudah untuk difahami, kini pelajar boleh mula membina graf bar mudah dengan mengikuti langkah-langkah yang disediakan di bawah:

Jadual 1.1 Kegiatan Ekonomi di Port Dickson, Negeri Sembilan

 

Kegiatan EkonomiBilangan Orang
Pertanian8
Perindustrian11
Pelancongan9
Perikanan2
Pendidikan5
Jumlah
35

Cara Lukis Graf Bar

Langkah 1

  • Lukis paksi menegak dan paksi mendatar di atas kertas graf
  • Bahagian paksi menegak adalah bilangan orang manakala paksi mendatar adalah kegiatan ekonomi
  • Pilih skala yang sesuai bagi menunjukkan bilangan orang berdasarkan kegiatan ekonomi yang dijalankan
  • Tanda skala pada paksi menegak (sertakan pengiraan kuantiti seperti orang, kg dan sebagainya)
  • Skala menegak menunjukkan 1 cm mewakili 1 orang atau mengikut kesesuaian data dan saiz graf

Cara Melukis Dan Mentafsir Graf Bar

Langkah 2

  • Lukis bar-bar berdasarkan kegiatan ekonomi yang dijalankan. Setiap bar menunjukkan satu kegiatan ekonomi yang dijalankan
  • Tahap ketinggian bar menunjukkan bilangan orang berdasarkan kuantiti yang diletakkan di paksi menegak

Cara Melukis Dan Mentafsir Graf Bar

Langkah 3

  • Lorek atau warnakan setiap satu bar dengan lorekan/warna berbeza
  • Label paksi menegak, paksi mendatar, skala graf bar serta tajuk. Tuliskan petunjuk di bahagian kanan atau bahagian yang sesuai bagi setiap bar

Cara Melukis Dan Mentafsir Graf Bar

*Nota: Terdapat pelbagai cara atau kaedah untuk membina graf garisan mudah dan tiada satu-satunya cara khusus untuk menghasilkannya. Justeru itu panduan yang disediakan di atas adalah salah satu daripada cara yang boleh dijadikan sebagai rujukan buat semua.

Cara Mentafsir Graf Bar

Setelah berjaya melukis graf bar mengikut maklumat atau data yang berjaya dikumpulkan, pelajar boleh pergi ke langkah seterusnya iaitu mentafsir graf bar tersebut. Tafsiran diperlukan bagi memahami data dalam jadual serta graf yang telah dihasilkan. Ianya dapat membantu bagi mengembangkan atau menjelaskan data secara lebih terperinci.

Langkah Mentafsir Graf Bar

Berikut adalah langkah untuk mentafsir graf bar mudah:

  1. Sila perhatikan tajuk graf tersebut
  2. Perhatikan juga maklumat yang ada di dalam jadual
  3. Lihat pada paksi mendatar dan paksi menegak
  4. Kenal pasti dan huraikan nilai maksimum dan minimum data (boleh mengikut turutan paling tinggi ke rendah)
  5. Huraikan isi tersirat di sebalik data seperti sebab berlakunya perkara tersebut
  6. Buat rumusan secara menyeluruh terhadap data yang dilihat

Contoh Tafsiran Graf Bar Mudah


Rajah 1.1 menunjukkan kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh penduduk Port Dickson, Negeri Sembilan. Kegiatan ekonomi yang mencatatkan rekod tertinggi adalah perindustrian iaitu seramai 11 orang, diikuti rapat dengan kegiatan pelancongan seramai sembilan orang, pertanian seramai lapan orang, sektor pendidikan seramai lima orang. Kegiatan ekonomi yang merekodkan data paling rendah adalah perikanan iaitu seramai dua orang.

Kebanyakan responden telah memilih perindustrian sebagai kegiatan ekonomi yang dijalankan sekitar kawasan port dickson berikutan wujudnya banyak kawasan perindustrian di kawasan tersebut. Sektor pelancongan turut mencatat rekod yang tinggi berikutan kawasan port dickson yang terletak di persisiran pantai. Walau bagaimanapun, sektor perikanan merupakan aktiviti yang paling kurang dilakukan kerana pantai-pantai di port dickson adalah untuk tujuan peranginan.

Kesimpulannya, terdapat banyak kegiatan ekonomi yang dijalankan di sekitar kawasan Port Dickson, Negeri Sembilan. Kegiatan ekonomi yang paling banyak dijalankan adalah perindustrian manakala paling sedikit dilaksanakan adalah perikanan.

Semoga perkongsian mengenai cara melukis dan mentafsir graf bar kegiatan ekonomi di kawasan kajian ini dapat membantu pelajar tingkatan 3 dalam menyiapkan kerja kursus atau kajian lapangan geografi tingkatan 3 (KLGT3). Diharapkan panduan Cara Melukis Dan Mentafsir Graf Bar juga dapat menyumbang kepada keputusan yang cemerlang buat pelajar tingkatan 3 dalam PT3 nanti.

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *